Tuesday, April 1, 2014

Ketamadunan Cinta Nan Agung

Di bawah sosok keperibadian mulia Nabi Muhammad, aku merasa begitu rendah diri. Siapalah aku jika dibandingkan dengan manusia yang terpilih menjadi RasulNya yakni Muhammad, penyinar seri buana. Akhlaknya meluluhkan hati yang sekeras batu bahkan mungkin hati yang lebih keras dari batu. Aku merasa begitu rendah diri. Rasulullah bersungguh-sungguh dalam mengagungkan cintaNya tetapi aku, kadang tanpa ku sedari hidup di bawah bayang cinta manusia yang saling berkejaran dalam ruang minda. Cinta manusia yang saling menghantui sehingga menyebabkan kekecewaan dan kesengsaraan, dan zarah-zarah cinta itu seolah-olah berlari – lari di dalam minda sehingga terlukis dalam gambaran minda suatu angan-angan yang sungguh indah dan menyenangkan jiwa. Walaupun realitinya zarah cinta itu hanya dipengaruhi hawa nafsu yang tidak pernah putus asa menebarkan virusnya sehingga manusia terusan mendamba cinta manusia. Manusia lain di luar sana seperti aku, mungkin dalam sedar atau tidak, mereka hanya membiarkan virus agungkan cinta manusia itu menular sehingga ia menjadi barah yang akan bernanah dan menjadi penghalang  dalam menggapai  ketamadunan cinta yang agung, hakiki dan suci iaitu cinta Allah yang abadi.  Ramai yang berbangga dapat memiliki cinta yang mereka idamkan, kononnya mereka berjaya meraih kebahagiaan yang diimpikan. Lupakah mereka kepada Sang Pemilik Cinta sebenar? Saat Sang Pemilik Cinta dilupakan, cinta yang lain tidak akan membuahkan kebahagiaan yang abadi bahkan ditekankan di sini, cinta manusia itu bersifat sementara. Takkan mampu menandingi cintaNya yang agung. 

Dalam meraih cinta nan Agung itu, kita belajar untuk mencintai makhluk ciptaanNya dengan semata-mata kerana Allah. Hanya untuk mengharap redhaNya. 

Dalam harapan yang menggunung untuk mendapatkan cinta insan yang kita ingin sekali miliki, kita sering terlupa untuk meletakkan cinta akan seseorang itu kerana Allah. Cintakan sahabat kerana Allah. Analogi mudah saya hidangkan buat renungan kalian yang membaca. Ada dua orang sahabat. Bolehlah juga dikatakan sahabat, atau lebih tepat rakan sekelas. Sebelum mereka berdua terlibat dalam usrah, mereka berdua boleh dikatakan tidak berapa baik hubungan dan agak renggang. Namun setelah ikut usrah, dan faham kenapa kita mesti mencintai suatu makhluk kerana Allah, hubungan keduanya bertambah baik bahkan menjadi sahabat karib sehingga kini. Di sini, kita dapat melihat, hubungan antara manusia yang berlandaskan mengharapkan redha Allah dan mengikut aturan sunnah dan kitabNya, mengalami mobiliti yang positif dan inshaaAllah akan kekal baik sampai bila-bila. 

Renungkan andainya kita berjaya bersama dengan orang yang kita cintai tetapi si dia tidak menunaikan solat, panas baran, menjadi suami yang bermata keranjang bagi yang perempuan, dan mendapat isteri yang kaki kikis bagi yang lelaki dan pasangan kita itu tidak mampu bersama dengan kita ketika susah, apakah itu namanya bahagia?

Mungkin si fulan menikah dengan si dia ini kerana dia cantik, berpendidikan tinggi dan menjadi rebutan ramai jejaka. Dan si perempuan ini menikah dengan si fulan ini kerana dia hangshem *handsome* ,kaya , berduit dan ada rumah banglo 100 tingkat. 

Adakah dijamin hidup mereka bahagia hanya dengan sebab-sebab itu? Tanpa meletakkan Allah sebagai keutamaan dalam mencari pasangan?

Nabi Muhammad ada berkata , kahwinilah seseorang itu kerana agamanya, nescaya kau akan bahagia.

Di sini kita dapat melihat atas sebab apa seseorang itu patut dicintai.

Bukan sahaja dalam mencari pasangan, begitu juga dalam kita mencintai sahabat dan keluarga. Letakkan Allah di tempat yang utama. InshaaAllah, dunia ini hanya seperti sebuah perjalanan bagi kita, di akhirat sana kita kan bersama dengan mereka yang kita cintai semata kerana Allah. 


No comments:

Post a Comment