Wednesday, February 5, 2014

Cerpen Zulaikha

Gadis itu berjalan perlahan. Wajahnya menunduk. Seakan - akan enggan mendongak memandang ke depan. Tudung labuhnya beralun  tatkala angin lembut menyapa. Dalam keheningan suasana petang desa, gadis itu langsung tidak sedar dia sedang diperhatikan. Sepasang mata sedang leka memerhati dirinya yang sedang mengatur langkah balik ke rumah.

" Zulaikha." Ayunan langkah gadis itu terhenti. Gadis itu menoleh ke arah punca suara yang menyebut namanya sebentar tadi. 

"Syafiq." Perlahan Zulaikha menggumamkan nama itu. 

Zulaikha memejamkan matanya untuk seketika saat pandangannya bertembung dengan panahan anak mata Syafiq. Zulaikha menghela nafas panjang dan kemudian kembali melihat ke arah sebatang pokok yang rendang, tempat Syafiq berdiri sambil bersandar pada batang pokok.

"Tak ada apa yang dapat kita lakukan lagi." Zulaikha bersuara lagi. Kali ini suaranya agak tegas namun tersimpan nada sendu di sebalik suara itu.

"Awak tak nak berusaha? Saya serius. Dahulu awak sudah bersetuju Saya ingat semuanya akan berjalan lancar.Tetapi Zulaikha, tidak pernah saya jangkakan ini semua akan terjadi. Percayalah, apa yang keluarga saya cakap itu, tak semuanya betul." Syafiq merenung raut wajah Zulaikha, mengharapkan setulus kepercayaan dari gadis itu, tetapi semuanya kelihatan kabur. Zulaikha memalingkan wajahnya ke arah lain, tidak rela terus menatap wajah jejaka di hadapannya itu. Terselit rasa kasihan di sanubari terhadap lelaki itu namun Zulaikha redha dengan takdir . Zulaikha pasti akan ada pelangi yang indah selepas hujan yang menimpa bumi. Begitu juga hidup, akan ada bahagia selepas adanya bencana.

" Biarlah,Syafiq. Saya takkan jadi anak derhaka, memalukan orang tua saya.Saat orang tua menentang hubungan kita untuk diteruskan ke peringkat seterusnya, takkan kita harus membangkang? Mustahil. Anggaplah ini ujian buat kita. Kita sama-sama orang yang terlibat dalam tarbiyah dan dakwah. Tentu kita sama-sama mengerti bahawa orang disayang Allah pasti akan diuji. Redha dan percayalah, ketentuan Tuhan itu indah,Syafiq. Jangan sesekali kita melukai hati ibu bapa yang telah membesarkan dan mendidik kita , tanpa mereka, tidak akan ada Ainur Zulaikha ni." Syafiq terkedu. Diam dan membisu. Dia tersenyum nipis dan kemudian menarik nafasnya perlahan.

"Jika begitu kata Zulaikha, saya minta diri.Assalammualaikum." Syafiq mulai mengatur langkah, meninggalkan Zulaikha sendirian di situ. Zulaikha memejamkan matanya , sambil meletakkan kedua-dua tapak tangan di dadanya . 

"Sesungguhnya aku takut pada Allah." Bisik Zulaikha. Air matanya menitis tanpa disedari. Sengaja Allah menguji, antara kasih ibu ayah dan si dia yang dicintai , siapakah yang lebih Zulaikha kasihi ?Antara tuntutan nafsu dan agama , manakah yang lebih dituruti ?

Surah Al-Ankabut, Ayat 2 & 3

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.

* * *


No comments:

Post a Comment